TAIPING 25 Sept. – Seorang pekerja kilang diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pindaan mencabul ibunya yang berusia 50 tahun pada awal tahun lalu.
Hakim Che Noralashiken Abd. Razak memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap lelaki berusia 22 tahun itu pada akhir kes pendakwaan.
Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa mencabul ibunya di sebuah kampung dekat sini pada pukul 7 malam, 8 Mac 2017 iaitu kesalahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGM), M. Kathan.
Lelaki itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan tersebut dan mahkamah menetapkan 19 Oktober ini untuk perbicaraan di peringkat pembelaan.
Terdahulu, mahkamah dalam keputusannya mendapati pihak pendakwaan yang memanggil enam saksi untuk memberi keterangan, telah gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan asal iaitu merogol mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan sebelum meminda pertuduhan tersebut.
Akhbar pada 9 Mac tahun lalu melaporkan seorang wanita yang merupakan janda anak lima membuat laporan polis selepas mendakwa dirogol anak lelakinya di rumah mereka.
Ketika kejadian, hanya dua beranak itu sahaja berada di rumah dan suspek yang bekerja di sebuah kilang tayar kemudiannya ditahan untuk siasatan.











