KUALA NERUS 16 Sept. – Ahli dan penyokong Pas tidak perlu khuatir terhadap kemungkinan kembali ‘dipatuk ular sama’ jika parti itu menjalinkan kerjasama dengan UMNO kerana Allah SWT sentiasa ada untuk memberi jalan penyelesaian.
Wakil Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, memandangkan tarbiah, dakwah serta siasah merupakan dasar perjuangan parti, Pas sentiasa mengamalkan politik perdamaian terhadap seluruh umat manusia.
Sehubungan itu kata beliau, sebarang musuh yang ada hendaklah didekati, dibaiki serta dipimpin menerusi dakwah selagi mereka masih berpegang kepada prinsip dan ajaran Islam.
“Sekiranya mereka menjadikan ruang perdamaian ini hanya untuk kepentingan diri sendiri, maka serahkan urusan selebihnya kepada Allah SWT untuk hukum mereka.
“Jangan kita bimbang boleh ke tak boleh (berdamai), atau bimbang kita akan dipatuk ular yang sama atau masuk ke lubang biawak yang sama. Ini urusan Allah SWT, kalau mereka khianat, biar Allah SWT tentukan hukumannya.
“Lagipun sudah terbukti di depan mata kita sendiri, mereka yang pernah berada di atas menerima hukuman dan sekarang sudah tidak lagi ada (di atas),” katanya ketika membahaskan usul politik berkaitan peranan Pas dalam pembangkang sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-64, di sini hari ini.
Terdahulu, Pas Kawasan Kota Raja dan Lenggong mengusulkan secara bersama agar Majlis Syura Ulama dan Pas Pusat menentukan hala tuju dan peranan parti dalam gerakan pembangkang demi kepentingan Islam dan rakyat.
Kandungan usul itu juga meminta Majlis Syura Ulama diberikan mandat untuk memuktamadkan apa jua keputusan mengenai perkara itu dan ia hendaklah disusuli dengan kenyataan rasmi oleh majlis tersebut.
Perwakilan Kota Raja, Mohamad Diah Baharom ketika membentangkan usul itu berkata, Pas Pusat juga perlu menentukan peranan Gasasan Sejahtera dan membuat ketetapan untuk memilih mana-mana parti untuk bekerjasama bagi mengukuhkan gagasan.
Usul itu mempunyai kaitan dengan cadangan supaya Pas membentuk kerjasama menerusi kaedah tahaluf siyasi dengan UMNO bagi berdepan situasi politik negara dan seterusnya menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Ia kemudiannya diluluskan sebulat suara oleh para perwakilan yang hadir. – UTUSAN ONLINE










