Alkahfi lancar bot laju eksekutif bagi pekerja pelantar - Utusan Malaysia

Alkahfi lancar bot laju eksekutif bagi pekerja pelantar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN 24 Sept. – Alkahfi Lestari Oil & Gas Sdn. Bhd, melancarkan bot laju kru (FCB) bertaraf eksekutif pertamanya, ‘Alkahfi Care’ di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB), di sini semalam yang meletakkan satu tanda aras baharu terhadap perkhidmatan pengangkutan ke pelantar minyak dan gas.

Syarikat milik bumiputera yang turut terlibat dalam pembekalan produk petrokimia itu melabur sebanyak RM20 juta bagi pembelian bot bersaiz sederhana  yang dikatakan paling pantas, selesa serta dilengkapi pelbagai ciri keselamatan dalam usaha penambahbaikan perkhidmatannya, sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi syarikat.

 Ketua Pegawai Eksekutifnya,  Mohd Nazri Mohd Zain berkata, kapal Flex-42X (Alkahfi Care) yang diperbuat di Singapura, sepanjang 42 meter itu mampu mengangkut 80 pekerja ke pelantar dengan kelajuan sehingga 30 knot berbanding kapal pengangkut konvensional  hanya 25 knot.

“Alkahfi Care merupakan kapal pengangkut bersaiz sederhana pertama di dunia yang mendapat pasport hijau dalam kelasnya.

“Ketika ini kita mempunyai enam bot kru konvensional bersaiz sederhana, dan pelancaran Alkahfi Care dan Alkahfi Courage (yang akan dilancarkan tidak lama lagi) melengkapkan segmen FCB kami (bagi kategori eksekutif),” katanya kepada pemberita  selepas majlis itu.

Yang turut hadir,  Pengerusi Alkahfi Lestari Oil & Gas Sdn. Kamal Affandi  Hassan bersama wakil-wakil syarikat dan pemain utama dalam industri minyak dan gas di negeri ini termasuk Petronas, ExxonMobil, Repsol, Sapura, Vestigo  dan Epic.

Alkahfi Care turut dilengkapi 12 bilik penginapan anak kapal, dek kargo 110 meter persegi, pelbagai kamera litar tertutup dalam dan di luar untuk liputan keselamatan maksimum, pencahayaan semula jadi yang cukup untuk penumpang dan anak kapal di dek utama dan di bawah dek utama.

 Menurut Mohd Nazri, selain mengangkut pekerja pelantar minyak, Alkahfi Care juga dilengkapi dengan peralatan khas untuk memadam kebakaran luar, mencari dan menyelamat dan rondaan keselamatan.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN