HANGZHOU 17 Sept. – Syarikat peneraju e-dagang, Alibaba Group menyasarkan untuk mengembangkan lagi acara Festival Pengusaha Taobao melangkaui pasaran sedia adanya pada masa depan, kata Ketua Pegawai Pemasarannya, Chris Tung.
Tanpa memberi tempoh sebenar pelaksanaan langkah itu, beliau berkata, Taobao pada masa ini boleh diakses oleh komuniti China global yang menetap di beberapa negara asing seperti Malaysia, Taiwan, Australia, New Zealand dan Singapura.
“Oleh itu, saya berharap dapat menyaksikan lebih banyak festival itu yang diadakan secara serentak di serata dunia,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini. Sidang media itu diadakan bersempena penganjuran festival empat hari tersebut di West Lake, Hangzhou, bermula 13 September lalu. Tung berkata, sejajar dengan pertumbuhan Alibaba yang melangkaui sempadan China, kumpulan itu berharap dapat memanfaatkan teknologi serta pengalamannya dalam sektor e-dagang bagi menyokong kalangan peniaga, khususnya perusahaan kecil dan sederhana serta melancarkan perniagaan yang diusahakan oleh golongan muda.
Atas dasar itu katanya, Alibaba akan melibatkan lebih ramai individu muda dan profesional kreatif bagi membentuk satu gerakan yang bertunjangkan aspek keaslian dan kreativiti demi membangunkan elemen kelestarian di Taobao.
Menurut Tung, Festival Pengusaha Taobao itu merupakan platform meraikan semangat kalangan peniaga selain menyuntik pengalaman beli-belah lebih menarik untuk para pelanggan.
Edisi ketiga festival itu mengetengahkan kreativiti dan kebolehan golongan muda China dengan penyertaan lebih 200 peniaga Taobao termasuk yang mewakili jenama asal, pereka bentuk bebas, pereka cipta, penggiat seni dan jenama yang menjual produk berkaitan warisan kebudayaan.
Malah, untuk pertama kalinya acara berkonsepkan ‘pasar malam’ yang menjual pelbagai makanan akan diadakan selain pertunjukan fesyen di jambatan West Lake yang diliputi salji yang mengetengahkan sentuhan asli 20 pereka terkemuka China.
Pertunjukan itu akan turut disiarkan secara langsung di aplikasi mudah alih Taobao App dan Youku yang membolehkan penonton membeli produk dipaparkan dalam acara itu. Selain itu, menyentuh prospek Malaysia, Tung berkata, pasaran negara itu tetap dilihat sebagai penting.
“Sebagaimana yang anda ketahui, pelancaran kempen Minggu Malaysia di Hangzhou kurang dua bulan lepas adalah penting untuk menunjukkan bahawa kami bekerjasama rapat dengan Malaysia bagi mengimport jenama dan produk berkualiti kepada pengguna di China,” katanya. – BERNAMA
Chris Tung











