WATFORD – Pemain pertahanan Manchester United, Chris Smalling menerima pujian pengurus, Jose Mourinho selepas dia menjaringkan gol kedua United ketika menewaskan Watford 2-1 di Vicarage Road awal pagi semalam.
Kekalahan kepada United itu menyaksikan Watford gagal meneruskan rentak cemerlang musim ini selepas melakar empat kemenangan berturut-turut pada perlawanan terdahulu.
Mourinho tanpa berselindung menghamburkan pujian terhadap Smalling selepas pemain pertahanan antarabangsa England itu menampilkan aksi terbaik bagi membantu kemenangan United.
“Dia bermain baik dan saya gembira dengan aksi yang ditampilkan. Bagaimanapun, saya langsung tidak sukakan gaya rambutnya seperti itu tetapi siapalah saya untuk menentukan gaya rambutnya,” kata Mourinho berseloroh.
Dalam pada itu, beliau gembira gandingan yang dicipta antara Smalling dan Victor Lindelof ketika mengemudi benteng pertahanan United selain memuji peranan dimainkan pemain tengah, Marouane Fellaini.
“Dia (Smalling) bermain baik bersama-sama Lindelof pada hari ini (semalam). Selain itu, saya ingin ulangi Fellaini sangat penting untuk pasukan kerana dia banyak membantu benteng pertahanan ketika lawan melancarkan serangan.
“Sebelum ini, kami banyak lakukan kesilapan terutamanya ketika bertemu Brighton dan Tottenham. Saya akui kami tidak layak menang bertemu Brighton tetapi aksi menentang Tottenham, kami sepatutnya kutip tiga mata,” ujar Mourinho. – Agensi










