Adik ipar CEO Cradle Fund dan suami direman 4 hari - Utusan Malaysia

Adik ipar CEO Cradle Fund dan suami direman 4 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Adik ipar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn. Bhd., Nazrin Hassan dan suaminya ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes kematian Nazrin yang maut dalam kebakaran di rumahnya Jun lalu.

Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Hairul Azhar Mohd. Ishak membenarkan tempoh reman sehingga Khamis ini bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap kedua-dua suspek yang berusia 39 dan 41 tahun.

Siasatan terhadap kedua-dua suspek itu dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pada 4 September lalu, isteri kepada Nazrin dan bekas suaminya ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Sementara itu, pada 9 September lalu, turut ditahan reman dua anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun.

Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman.

Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan sebuah telefon bimbit yang diletak sama ada di atas katil atau sisi katil meletup semasa dicas mungkin menjadi punca kebakaran di bilik tidur yang mengorbankan Nazrin.

Nazrin terperangkap dalam kebakaran di bilik tidur rumah teres dua tingkat di Mutiara Damansara dan berkemungkinan meninggal dunia akibat terhidu asap. Tubuh mangsa turut melecur.

Bagaimanapun, isteri dan empat anak mangsa yang berada di tingkat bawah sempat menyelamatkan diri.

Pada 3 Ogos lalu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengklasifikasikan kes kematian Nazrin sebagai kes bunuh.

Sementara itu, pada 6 Ogos lalu, sumber polis mendedahkan bahawa hasil makmal dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor menunjukkan terdapat kesan empat petrol yang terdapat di dalam bilik Nazrin yang terbakar.

Cradle Fund ialah syarikat di bawah Kementerian Kewangan yang berperanan membangunkan usahawan teknologi dan ekosistem syarikat permulaan Malaysia.

Ia adalah agensi yang memberi pembiayaan awal kepada syarikat yang berjaya seperti Grab (sebelum ini MyTeksi) dan syarikat pemula niaga fintech iMoney. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN