KUALA LUMPUR 1 Sept. – Kegagalan membawa pulang pingat daripada Sukan Asia 2018 memberi kesan yang sangat mendalam buat juara dunia Kelas Putri E, Siti Rahmah Nasir yang begitu kecewa dengan hasil diperoleh pada penampilan pertama dalam temasya tersebut.
Temasya ke-18 di Jakarta-Palembang itu membuka laluan untuk pencak silat dipertandingkan buat julung kali dalam Sukan Asia namun jangkaan skuad negara akan memenangi tiga emas berakhir dengan tragis apabila tiada dalam kalangan pesilat negara yang muncul juara.
Srikandi silat negara Siti Rahmah sebelum ini menjangkakan untuk bersara sekembali dari Indonesia bersama pingat emas tetapi kegagalannya membuatkan dia mengubah hasratnya.
“Saya rasa ada sesuatu yang masih belum lengkap dan tersekat. Oleh itu saya mahu menyelesaikan misi itu terlebih dahulu dan mahu menutup (bersara) dengan baik, namun buat masa ini saya belum memikirkan lagi.
“Perasaan gagal menghadiahkan pingat sangat perit dan perlu dilupakan secepat mungkin, saya mahu kembali fokus untuk kejohanan terdekat dan dapatkan semula semangat dan rentak yang hilang,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Tempoh rehat selama lebih empat bulan selepas mengalami patah tangan kiri dalam satu pertandingan di Belanda November tahun lalu sedikit sebanyak dilihat menjadi faktor kegagalan Rahmah mempamerkan aksi terbaik di Jakarta.
Pesilat berusia 31 tahun itu tewas 0-5 kepada peserta Vietnam, Thi Cham Nhi dalam suku akhir sekali gus meranapkan impian kontinjen negara yang menaruh harapan tinggi kepadanya.
“Kegagalan membantu rakan-rakan yang berjuang habis-habisan untuk mendapat pingat dalam Sukan Asia yang mendapat layanan tidak adil oleh tuan rumah membuat saya berasa begitu sakit.
“Selepas ini tumpuan saya adalah memenangi kejohanan dunia di Singapura akhir tahun ini.
“Kontrak saya bersama ISN (Institut Sukan Negara) masih ada hingga Disember 2019. Jika ISN dan Pesaka (Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia) masih memerlukan khidmat serta memberi peluang, saya bertekad menebus kegagalan di Jakarta,” katanya.
Dua tahun lalu, pesilat kelahiran Terengganu itu menambah koleksi kejuaraan dunianya buat kali ketiga selepas meraih emas dalam Kelas Putri E, Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, mengulangi pencapaian pada 2012 dan 2015.











