PAGI Jumaat lalu pelakon dan pelawak terkenal, Accapan menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun di kediamannya di Taman Puchong Utama, Selangor akibat kegagalan buah pinggang. Berita tersebut cukup mengejutkan kerana pelawak itu tidak pernah menghebahkan kepada umum tentang penyakitnya.
Berita terakhir yang diingati tentang beliau adalah cerita tular dua tahun lalu yang mendakwa pelawak itu memeluk Islam. Anak sulung mendiang, Vikneshwaran bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan bapanya tidak pernah memeluk agama Islam. Perkara berkenaan juga telah dirujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia semasa proses pengesahan kematian bapanya.
Menyentuh tentang penyakitnya, Accapan atau nama sebenarnya Samynathan Rethinam bukan sahaja berahsia tentang perkara tersebut daripada pengetahuan umum, tetapi juga ahli keluarganya.
Menurut Vikneshwaran, bapanya amat jarang bercerita tentang penyakitnya kepada keluarga dan mereka hanya mengetahui penderitaan pelawak itu tiga bulan lepas.
“Sewaktu bapa dirujuk ke Hospital Putrajaya sebulan lepas, penyakitnya sudah mencapai tahap tiga. Setelah empat hari masuk wad, doktor memberitahu status kesihatannya telah pun berada pada tahap kritikal dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan doktor pakar,” kata Vikneshwaran.
Salah seorang sahabat baiknya, bekas Pengarah Pembangunan Strategik dan Timbalan Pengarah Kandungan Program, Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jack Nadarajah berkata, selain enggan meraih simpati, pelawak itu merahsiakan penyakitnya kerana beliau tidak mahu dilihat sebagai pesakit, sebaliknya mahu dikenang sebagai seorang pelawak dan penghibur.
“Saya tahu beliau tidak sihat kerana beratnya badan menyusut, tetapi diminta merahsiakan penyakitnya daripada umum.
“Beliau enggan menghebohkan tentang penyakitnya kerana tidak mahu orang mengingati dia sebagai pesakit. Sebaliknya, mahu dikenang sebagai pelawak dan pelakon yang menghiburkan orang.
“Jadi, sama ada susah atau senang, beliau lebih selesa untuk berdiam diri. Pemergiannya satu kehilangan yang besar terhadap industri seni tempatan,” kongsi Jack yang telah mengenali Accapan selama lebih 30 tahun.
Mengimbas tentang karier seninya, pelawak yang berasal dari Parit Buntar, Perak itu cukup popular pada era 1980-an sehingga 1990-an menerusi program komedi Santan Berlada bersama Allahyarham Datuk Ali Mamak dan Khairul Azhar. Ia berkonsepkan komedi bersahaja dalam masa sama bersulam kritikan pedas terhadap pelbagai isu semasa dalam program berkenaan amat digemari penonton.
Sebuah lagi program komedi lakonan beliau yang diingati sehingga hari ini ialah Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Accapan yang membawakan watak Singam bagaimanapun hanya sempat bersama sitkom popular tersebut selama lima tahun dari 1988 sehingga 1993 sebelum mengundurkan diri dan tempatnya diganti oleh pelawak Sathiya.
Bercakap mengenai perkara tersebut, pelakon dan pengarah Sabri Yunus yang memegang watak Wan Ismail Golok dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu menyifatkan Accapan seorang rakan artis yang baik dan cukup menghormati orang sekelilingnya.
“Saya banyak memori bersama mendiang ketika berlakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Biarpun ketika itu beliau merupakan pelakon senior yang berpengalaman, manakala saya merupakan pelakon baharu, beliau sangat menghormati saya.
“Bagi saya, watak Accapan dalam sitkom itu cukup besar untuk dikembangkan.
“Sayangnya pada waktu itu, beliau sibuk dengan penggambaran filem sehingga jarang menghadiri latihan. Ketika sitkom berkenaan masih bersiaran beliau berasa tenggelam dan menganggap Pi Mai Pi Mai Tang Tu bukan gelanggangnya.
Selepas beliau keluar, seluruh produksi terasa kehilangan dan kepentingan watak Singam menyebabkan pengarah, Othman Hafsham mencari pengganti wataknya,” kongsi Sabri.
Unik
Sabri yang hampir empat tahun tidak bertemu Accapan menyifatkan mendiang bintang yang amat istimewa sehingga mampu mencetuskan corak baharu dalam dunia komedi tempatan pada waktu tersebut.
“Ketika Accapan muncul dalam industri, beliau masih muda dengan rambut panjang dan intonasi suara berbeza. Jadi, beliau amat menyerlah dalam kalangan pelawak India. Disebabkan bakat dan imej berbeza, beliau secara automatik menjadi satu tuntutan yang baharu dalam dunia lawak ketika itu,” ujar Sabri.
Sememangnya Accapan seorang pelaku seni yang amat berbakat besar. Selain program dan sitkom komedi, beliau pernah juga pernah membintangi 20 buah filem antaranya Mira Edora, Gila Bola dan yang terakhir Mamak Cupcake.
Accapan meninggalkan seorang balu Yogeswari Subramaniam, 53, dan tiga orang anak, Vikneshwaran, 31, Dhineshwaran, 28, dan Yhuveneshwary, 24. Seperti mana permintaan terakhir beliau, Accapan berjaya mengekalkan memori terbaiknya buat peminat. Beliau akan sentiasa dikenang sebagai Accapan seorang pelawak dan pelakon legenda negara.










