KUALA NERUS – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyatakan komitmen untuk menghadiri Perhimpunan Agung UMNO pada 30 September ini.
Begitu pun Ahli Parlimen Marang memberitahu, ia bergantung kepada tahap kesihatannya pada masa itu selain turut mempunyai satu lagi undangan pada program lain di luar negeri pada hari sama berlangsungnya perhimpunan tersebut.
“Itu nanti lihat keadaan kesihatan saya kerana ada juga terikat dengan program persidangan di luar negeri.
“Undangan (Perhimpunan Agung UMNO) sudah diterima dan di luar negeri juga saya ada undangan. Kalau saya tidak pergi, ada wakil kepimpinan (Pas) lain yang akan hadir,” katanya selepas menyampaikan Ucapan Penangguhan Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-64 di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini.
Turut hadir Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.
Kedua-dua parti tersebut melakar sejarah baharu politik negara selepas kepimpinan UMNO diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hadir ke Muktamar Tahunan Pas Pusat di sini semalam.
Pas pula dijangka hadir pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra pada 30 September ini. – K! ONLINE











