KUALA TERENGGANU 15 Sept. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini mengakui perwatakan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika ini lebih matang dan tidak setegas semasa menerajui kerajaan sebelum ini terutama dalam urusan dengan negeri di bawah pembangkang.
Abdul Hadi mengambil contoh apabila Dr. Mahathir tidak lagi meminggirkan negeri yang tidak sehaluan politik dengan Pusat apabila memberikan komitmennya untuk mengotakan janji menyalurkan royalti petroleum kepada Terengganu dan Kelantan.
Beliau memberitahu, perubahan perwatakan Perdana Menteri itu dipercayai disebabkan beberapa faktor antaranya suasana serta pemikiran masyarakat yang sudah berubah selain kesedian Dr. Mahathir belajar daripada kelemahan dahulu.
“Ini mungkin disebabkan suasana masyarakat yang sudah berubah dan beliau juga pelajari daripada kelemahan dahulu dan dengan itu kita jangka beliau lebih matang.
“Atas sebab itulah dia janji nak bagi royalti petroleum kepada Kelantan dan Terengganu, itu kematangan dia,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Muktamar Tahunan Pas ke-64 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Terengganu di Gong Badak dekat sini hari ini.
Yang turut hadir, Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan. – UTUSAN ONLINE










