PUTRAJAYA 29 Sept.- Ahli Parlimen Baling merangkap Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan abangnya, Abdul Latif Abdul Rahim dibawa ke Mahkamah Majistret di sini pada pukul 9.30 pagi bagi mendapatkan perintah sambung reman.
Turut dibawa ialah sepupu Abdul Azeez, Nazri Osman selepas tempoh remam terhadap mereka tamat hari ini.
Ketiga-tiga suspek itu dibawa ke Mahkamah Majistret di sini dengan memakai baju lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
berwarna jingga dan tangan digari.
Rabu lalu, ketiga-tiga suspek tersebut direman selama empat hari mengikut peruntukan 117 Kanun Acara Jenayah selepas membenarkan permohonan oleh SPRM.
Dalam pada itu, kira-kira 100 penyokong Abdul Azeez yang kebanyakannya merupakan ahli wanita UMNO dari Baling hadir bagi memberi sokongan kepada beliau.
Mereka tiba seawal pukul 8.30 pagi dengan menaiki tiga buah bas sebelum menghadiri Perhimpunan Agung UMNO yang berlangsung hari ini. – UTUSAN ONLINE











