'Abang Is' didenda RM16,000 kerana memiliki pasport asing tanpa kebenaran - Utusan Malaysia

‘Abang Is’ didenda RM16,000 kerana memiliki pasport asing tanpa kebenaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 25 Sept.- Seorang ahli perniagaan syarikat pelancongan yang turut dikenali sebagai ‘Abang Is’ didenda RM16,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki 269 pasport warga asing tanpa kebenaran yang sah.

P. Munisvaran, 35, membuat pengakuan itu selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Saifulakmal Mod. Said.

Tertuduh yang didenda RM8,000 bagi setiap dua pertuduhan, boleh dipenjara lima bulan untuk masing-masing hukuman jika gagal membayar denda tersebut.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, lelaki itu didapati tanpa kebenaran yang sah memiliki 231 pasport warga asing untuk kegunaan lain kira-kira pukul 10.45 pagi pada 13 Ogos lalu di satu premis terletak di 12A-2, Jalan Puteri 2A/6, Bandar Puteri Bangi, Kajang.

Bagi pertuduhan kedua pula, lelaki itu didakwa memiliki 38 pasport asing untuk tujuan sama kira-kira pukul 7 petang, 13 Ogos lalu di satu lokasi beralamat di No.100, Jalan Desa Beringin 6, Taman Desa Seringin, Nilai, Negeri Sembilan.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Imigresen, Dayana Md. Said manakala tertuduh diwakili peguam T. Harpal Singh.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kejayaan Jabatan Imigresen dalam menumpaskan satu sindiket penipuan program Penggajian dan Penempatan Semula (Rehiring) pekerja asing dengan mengaut keuntungan RM2.2 juta yang didalangi ‘Abang Is’.

Sindiket yang dijalankan oleh sebuah syarikat pelancongan itu didakwa telah menipu 270 pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dikatakan telah membayar kira-kira RM8,000 kepada pihak terlibat. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN