'ABANG ASMARA' DUTA HALAL DI TAIWAN - Utusan Malaysia

‘ABANG ASMARA’ DUTA HALAL DI TAIWAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KALAU bukan dipanggil Datuk Dr. Fazley Yaakob, ‘Abang Asmara’ adalah nama sapaan mesra buat penyanyi dan selebriti chef ini.

Pernah mencipta sensasi dalam industri hiburan ketika muncul hits dengan lagu berjudul Asmara Ini, sejak itu Fazley membuktikan bahawa dia tidak cuma berada di takuk itu.

Banyak merantau di luar negara, terbaru, Fazley dipandang istimewa di mata Kementerian Pelancongan Taiwan sehingga dilantik sebagai duta pelancongan halal di negara itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Merupakan tahun kedua buat Fazley, penyanyi ini menerima dengan hati terbuka peluang dan kepercayaan yang diberikan apalagi dalam misi seiring membawa nama negara ke bumi Taiwan.

“Tentunya berbangga kerana Taiwan memberi kepercayaan selama dua tahun berturut-turut setelah melihat profil serta apa yang telah saya bawa sebelum ini dalam mempromosikan destinasi di Taipei.

“Kembali lagi ke sini, saya lihat banyak perubahan berlaku antaranya pertambahan premis makanan halal. Ia menjadi keutamaan kempen dalam menarik pelancong muslim ke Taiwan.

“Dulu mungkin tidak terlalu banyak, tetapi sekarang agak memberangsangkan. Kebanyakan peniaga di Taiwan juga sudah peka dan prihatin dengan keselesaan dan konsep halal bagi pelancong asing muslim,”katanya.

Menganggap dirinya umpama duta kecil negara, Fazley juga gembira kerana sudah ada perkembangan positif diterimanya apabila terdapat beberapa buah hotel dan restoran tempatan yang mahu menjalin kerjasama dengannya.

“Tak dinafikan ada beberapa buah hotel menyatakan hasrat mahu bekerjasama dengan saya di Taiwan terutama dari aspek masakan dan menu Malaysia.

“Untuk pengetahuan, sebelum ini juga saya ada menerima pelawaan yang sama menerusi hotel-hotel dalam negara, cuma entah kenapa masih belum ada kata putus daripada saya.

“Semuanya masih dalam pertimbangan dan InsyaAllah andai persetujuan sudah dicapai, saya akan maklumkan kelak,”katanya.

 

BUKAN KERANA WANG

Dalam pada itu, Fazley menolak andaian bahawa dia mempunyai masalah untuk memberi kata persetujuan kerana bayaran yang tidak setimpal.

Kata bapa kepada empat cahaya mata itu, dia tidak pernah berpegang pada prinsip seperti itu hatta untuk tawaran duta sekali pun.

“Bukan soal wang yang menjadi ukuran tetapi kerana merasakan semua itu satu tanggungjawab yang besar dan saya tidak boleh bermain-main. Pilihan yang tepat harus dilakukan.

“Namun ya, saya tidak nafikan penerimaan Taiwan terhadap makanan Malaysia sangat baik. Makanan kita dilihat kaya kerana ada ramuannya berbeza dengan makanan mereka.

“Ini menyebabkan mereka mahu tahu lebih lagi tentang makanan di Malaysia dan saya sendiri tumpang bangga apabila mendapat tahu hal ini,”katanya.

Kata pemenang program Masterchef 2012 ini, dia amat menekankan makanan tradisional tempatan adalah cerminan wajah makanan Malaysia.

“Roti canai dan nasi lemak, ia sebenarnya adalah menu yang agak subjektif kerana di negara lain pun ada seperti Indonesia dan India.

“Jadi sudah tiba masanya untuk makanan tradisi tempatan berdasarkan negeri dan daerah. Contohnya, laksa Johor dan Kelantan, nasi kerabu dan nasi ambeng yang menjadi wajah Malaysia untuk diperkenalkan kepada orang luar,” ujarnya.

 

SENI

Dalam sukses mengendali kerjaya di bidang kulinari, ada di kalangan peminat sudah bertanya, sudah lupakah dia dengan seni nyanyian?
Tidak pernah menyatakan hasrat mahu berhenti menyanyi. Fazley akui dalam senggang masa, ada sahaja tawaran dan undangan nyanyian yang akan dipenuhi.
Namun kerana kesibukan masa, penyanyi ini tidak dapat memberi fokus penuh buat kerjaya nyanyiannya.
“InsyaAllah, akan ada buah tangan terbaharu daripada saya dan mungkin agak lain sedikit. Kali ini, peminat akan melihat saya menyanyi dalam bahasa Mandarin berjudul Wo Ai Te Ni.
“Ia diciptakan oleh Ajai dan dia mahu saya mengembalikan memori Asmara Ini yang bernada tinggi,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini