JERANTUT 9 Sept. – Keputusan Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) menutup kilang sawit Felda Lepar Utara 4 di sini menimbulkan keresahan kepada lebih 700 peneroka khususnya di tanah rancangan Felda Lepar Utara 4, 2 dan 1.
![]() |
|
ATAN MOHD. ROSLAN
|
Rata-rata peneroka yang berasa kecewa dengan keputusan itu bimbang tindakan berkenaan membebankan mereka dengan kenaikan kos pengangkutan selain kejatuhan harga perahan sawit yang boleh menjejaskan pendapatan mereka.
Wakil peneroka berkenaan, Atan Mohd. Roslan berkata, mereka bimbang dengan tindakan itu mahu surat hitam putih bahawa FGV akan menanggung kos pengangkutan yang pastinya meningkat selepas hasil sawit terpaksa dihantar ke kilang yang jaraknya kira-kira 30 kilometer.
Selain itu, katanya, mereka juga mahu jaminan bahawa harga perahan minyak sawit dikira berdasarkan harga semasa dihantar ke pusat pengumpulan bukannya ke kilang di Felda Lepar Utara 6.
“Setakat ini, kami hanya mendengar jaminan mulut daripada Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Datuk Zakaria Arshad tetapi kami mahukan surat hitam putih kerana tidak tahu apa akan berlaku sekiranya berlaku perubahan pengurusan Felda pada masa akan datang.
“Kami bimbang tentang masa depan kami yang mengharapkan kepada pendapatan hasil kelapa sawit apatah lagi dalam keadaan harga minyak sawit tidak menentu,” katanya selepas majlis pertemuan antara pengurusan FGV, wakil peneroka dan kakitangan Kilang Sawit Felda Lepar Utara 4, di sini kelmarin.
Menurutnya, pelbagai persepsi timbul ekoran tindakan tersebut memandangkan kilang sawit Lepar Utara 6 terletak berhampiran dengan ladang FGV berbanding kilang sawit Lepar Utara 4 yang dikelilingi ladang peneroka.
Katanya, penutupan kilang yang dibuat semasa hasil sawit peneroka berada di kemuncak apatah lagi keadaan kilang Lepar Utara 4 yang lebih baik menimbulkan keresahan peneroka.
Dalam pada itu, seorang peneroka Felda Lepar Utara 4, Baharin Ahmad Zainudin, 50, berkata, penutupan kilang berkenaan akan menjejaskan pekerjaan lebih 70 anak peneroka Felda yang bekerja di situ.
“Ini bakal menjejaskan anak-anak peneroka yang kini tinggal di Felda dan menjaga ibu bapa masing-masing yang sudah tua dan ada yang uzur,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Permuafakatan NGO Felda, Mazlan Aliman berharap surat hitam putih tentang jaminan tanggungan kos dan harga perahan sawit dapat dikeluarkan segera.
“Kami akan terus melakukan pemantauan mengenai kesan dan masalah lain yang dihadapi peneroka ekoran penutupan kilang ini yang dihentikan operasi dua minggu lagi,” katanya.











