KUALA LUMPUR 15 Sept. – Menjelang 2040, kerajaan perlu menjaga kebajikan kesihatan enam juta orang atau 14.5 peratus daripada populasi yang berumur 65 tahun dan ke atas.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, perkara itu akan meningkatkan lagi beban signifikan kepada kerajaan untuk menyediakan kemudahan kesihatan yang mencukupi.
Sehubungan itu katanya, anjakan paradigma perlu dilakukan dalam dasar kesihatan dan penjagaan kesihatan demi kehidupan rakyat yang lebih baik.
“Kemudahan kesihatan awam akan mengalami peningkatan cabaran dalam menyediakan penjagaan berkualiti untuk diterima umum, selain memiliki sumber-sumber yang terhad.
“Pertambahan penyakit tidak berjangkit (NCD) bersama-sama peningkatan usia rakyat menjadi bebanan signifikan kepada kerajaan untuk menyediakan kemudahan yang mencukupi,” katanya dalam Konvensyen Saintifik Tahunan Persekutuan Persatuan Pengamal Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM) kali kedua di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi penganjur konvensyen, Dr. Steven Chow.
Sementara itu ketika bercakap kepada pemberita mengenai sistem pendispensan, kerajaan tiada perancangan untuk melaksanakan pemberian rawatan dan ubat secara berasingan.










