BUTTERWORTH 28 Sept. – Sebanyak 51 penagih ditahan dalam serbuan ke atas sarang penagih dadah di sekitar Kampung Ujung Batu dan Kampung Perlis dekat sini pagi semalam dan berakhir awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua lelaki yang ditahan berumur antara 18 hingga 60 tahun dan bekerja sebagai buruh kontrak manakala sebahagian lagi penganggur.
Menurutnya, dalam serbuan yang bermula pukul 10 pagi semalam, polis merampas dadah disyaki heroin yang dianggarkan seberat 105.7 gram (g), syabu (4g) dan ganja (0.6g) daripada 19 yang ditahan.
“Hasil siasatan yang dibuat mendapati dadah itu adalah untuk bekalan ke sarang penagih itu dan anggaran nilai keseluruhan adalah RM4,320.
“Kesemua suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis morfin, methamphetamine dan THC,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, kes-kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 39B, 39A(2), 39A(1), 12(2), 6 dan 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah berbahaya dan memasukkan dadah ke dalam badan.
Jelas Noorzainy, pihaknya akan menjalankan operasi berterusan secara lebih agresif ke atas sarang-sarang penagih di daerah itu dan orang ramai juga digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa. – UTUSAN ONLINE











