SINGAPURA 28 Sept. – Seramai lima orang termasuk seorang kanak-kanak mengalami kesan sampingan serius selepas minum jus buah mengandungi steroid kuat.
Menurut Pihak Berkuasa Sains Kesihatan Singapura (HSA), kesemua mangsa mengalami sindrom Cushing dan diabetes tidak terkawal selepas minum Jus Al Sunnah Gold 1001 Khasiat Jus Alternatif.
Lapor Channel News Asia, sindrom Cushing menyebabkan muka seseorang itu menjadi bulat atau ‘wajah bulan’ dan obesiti badan di bahagian atas tetapi kaki dan tangan kurus.
Berita berkaitan:
- Konvokesyen UPM: 6,373 graduan pelbagai peringkat pengajian terima ijazah, diploma
- Khairy “kunci mulut” ketika ditanya sama ada akan bertanding di Seremban pada PRU-15
- Dinobat Aktres Terbaik, Susan Lankester dedikasi anugerah buat pejuang kanser
- 70 pengunjung, pemilik premis hiburan dikompaun RM70,000
Satu lagi kesan sampingan berlaku adalah peningkatan paras glukosa dalam darah yang membawa kepada diabetes, tekanan darah tinggi, katarak, penyakit tulang, peningkatan risiko jangkitan dan lemah otot.
Jus berkenaan dan satu lagi jus dikenali sebagai Jus Al Sunnah 1001 Khasiat Jus Alternatif telah diuji dan didapati mengandungi ramuan ubat yang tidak disahkan iaitu dexsamethasone dan prednisolone.
Kedua-dua bahan berkenaan adalah steroid yang kebiasaannya digunakan untuk masalah radang dan hanya boleh diambil di bawah penyeliaan doktor.
Selain itu, sejenis bahan iaitu diklofenac, turut ditemukan dalam Jus Al Sunnah Gold 1001 Khasiat Jus Alternatif.
Diklofenac merupakan ubat penahan sakit yang kuat dan boleh menyebabkan pendarahan organ perut yang serius selain serangan jantung dan strok sekiranya digunakan untuk tempoh yang lama.
HSA menasihatkan mereka yang mengambil kedua-dua produk itu agar berjumpa dengan doktor kerana berhenti mengambil steroid secara tiba-tiba tanpa penyeliaan perubatan boleh menyebabkan simptom mengundur.
Simptom mengundur termasuk letih, keliru dan tekanan darah rendah, khususnya apabila produk berkenaan diambil untuk tempoh melebihi beberapa minggu.
Ujar HSA, jus terbabit dijual secara dalam talian di sebuah kedai dikenali sebagai Queens Beauty Sg di Haig Road.
“HSA telah bekerjasama dengan pengurusan platform e-dagang tempatan untuk menarik balik iklan tersebut dan meminta kedai itu memberhentikan penjualan produk berkenaan,” kata HSA.











