5 didakwa menunggang motosikal secara melulu
 - Utusan Malaysia

5 didakwa menunggang motosikal secara melulu


Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 24 Sept. – Akibat menunggang motosikal secara melulu dan membuat aksi membahayakan diri serta pengguna jalan raya yang lain di Jalan Skudai Pantai Lido, lima remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini sebentar tadi.

Seorang tertuduh, Syawalludin Abu Bakar, 21, dijatuhkan hukuman denda RM5,000 dan hilang kelayakan milik lesen selama dua tahun selepas mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Sulihan Abd. Rahman.

Dia didakwa menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi wheelie dan berbahaya kepada orang awam di Jalan Skudai Pantai Lido di sini kira-kira pukul 1.30 pagi, 9 September lalu.

Dalam mahkamah yang sama, tiga tertuduh, S. Parthiba Kumar, 19; P. Thigarajan, 25 dan Jack Daniel Joseph Pareyra, 21, mengaku tidak bersalah dan mohon dibacarakan.

Ketiga-tiga mereka didakwa menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi wheelie dan menundukkan kepala serta menunggang dengan kelajuan tinggi di sisi kenderaan awam dan berbahaya kepada orang awam di Jalan Skudai Pantadi Lido kira-kira pukul 12.20 malam, 18 Ogos lalu.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga mereka diikat jamin sebanyak RM3,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Selain ketiga-tiga tertuduh itu, L. Theeba Nagan, 22, yang ditahan bersama-sama mereka turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menunggang motosikal dengan kelajuan tinggi di sisi kenderaan awam serta membahayakan orang awam.

Dia dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.

Nur Sulihan kemudian mengarahkan keempat-empat mereka melantik peguam dan menetapkan 25 Oktober depan sebagai tarikh serahan dokumen untuk memulakan perbicaraan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN