PETALING JAYA 24 Sept. – Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dengan kerjasama Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) menganugerahkan sijil graduasi kepada 41 peserta Program Penambahbaikan Produktiviti melalui Sistem Pengurusan Lean.
Ketua Pengarah MPC, Datuk Razali Hussain berkata, program berkenaan bermula pada Januari 2017 sehingga penghujung September tahun ini terdiri daripada tiga fasa iaitu pengetahuan asas, aplikasi modul dan latihan lapangan.
Menurut beliau, para peserta didedahkan dengan modul yang telah ditambahbaik dan baharu bagi menyediakan syarikat tempatan dengan penanda aras antarabangsa serta amalan terbaik terhadap Lean.
“Kita mahu menerapkan pemikiran dan tingkah laku baharu bagi mengurangkan pembaziran semasa peringkat prosesan sekali gus membantu meningkatkan produktiviti dan membolehkan syarikat bersaing dengan lebih kompetitif.
“Selain daripada penglibatan pakar tempatan sebanyak tiga syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) turut terlibat sebagai syarikat model bagi tujuan latihan dan melaksanakan sistem pengurusan Lean terhadap organisasi berkenaan,” katanya dalam majlis graduasi Program Penambahbaikan Produktiviti MPC-JICA di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










