35 pemain tidak dibayar gaji - Utusan Malaysia

35 pemain tidak dibayar gaji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Walaupun bola sepak Malaysia sudah memasuki era profesional, namun kes pasukan gagal membayar gaji masih berlaku malah yang terbaru ia melibatkan jumlah yang besar iaitu 35 pemain dengan nilai tunggakan keseluruhan RM744,500.

Jawatankuasa Status Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hari ini mengesahkan, badan induk tersebut telah menerima aduan daripada 29 pemain Perlis dan enam pemain Terengganu City.

Selepas bermesyuarat pada 29 Ogos lalu, jawatankuasa berkenaan mengarahkan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) membayar tunggakan keseluruhan berjumlah RM461,500, manakala Terengganu City RM283,000.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kedua-dua persatuan, yang beraksi dalam Liga FAM dikehendaki melunaskan tunggakan gaji tersebut dalam tempoh 30 hari daripada tarikh keputusan dibuat.

Kegagalan berbuat demikian bakal menyaksikan mereka diheret kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk tindakan lanjut.

“Tuntutan 29 pengadu telah diterima sepenuhnya dan PFA dikehendaki membayar tunggakan gaji seperti jumlah dinyatakan (tertakluk kepada potongan wajib pendapatan) dalam tempoh 30 hari dari tarikh penerimaan keputusan ini.

“Tuntutan pengadu (Terengganu City) juga diterima sepenuhnya kecuali Mohd. Norhafizzuan Jailani yang diterima sebahagiannya dan Kelab Bola Sepak Terengganu City dikehendaki membayar tunggakan gaji serta pampasan baki kontrak seperti jumlah dinyatakan dalam tempoh 30 hari.

“Jika gagal membayar jumlah dinyatakan dalam tempoh yang ditetapkan, perkara ini akan dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi,” kata Pengerusi Jawatankuasa Status FAM, Mohd. Joehari Ayub dalam satu kenyataan hari ini.

Isu tunggakan gaji pemain Perlis bukan perkara baharu, beberapa pemain pernah mengadu tidak dibayar gaji pada Mac lalu dan PFA pula berdepan krisis kewangan sejak awal musim.

Pada Februari lalu, bola sepak Malaysia juga dipalit dengan isu empat pasukan dalam Liga Super gagal membayar gaji pemain, manakala empat lagi daripada pasukan Liga Perdana.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini