ISKANDAR PUTERI 18 Sept. – Kira-kira 30 delegasi rang dari Republik of Tatarstan mengadakan kunjungan hormat ke Johor dan bertemu wakil-wakil kerajaan negeri di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini sebentar tadi.
Kunjungan tersebut diketuai Presiden Tatarstan, Rustam Minnikhanov, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penerangan dan Komunikasi Tatarstan, Roman Shaikhutdinov.
Dalam pertemuan tersebut, Roman memberikan taklimat kira-kira 30 minit mengenai peluang perniagaan dan pelaburan yang boleh diceburi pemain-pemain industri dari negeri ini.
Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (Pembangunan), Ramlee A. Rahman dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim turut
menyampaikan taklimat berhubung pembangunan semasa di Johor dan Wilayah Iskandar.
Selepas sesi tersebut, delegasi Tatarstan dibawa menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Delegasi tersebut kemudian mengadakan lawatan ke projek pembangunan mega, Forest City sebelum berlepas ke Singapura pada pukul 3.30 petang ini.
Tatarstan adalah sebuah wilayah di Rusia dengan populasi seramai 3.9 juta penduduk dengan setengah daripadanya beragama Islam. – UTUSAN ONLINE










