3 beradik bersekolah semula - Utusan Malaysia

3 beradik bersekolah semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG 18 Sept. – Tiga beradik dari Kampung Panggong Lalat, di sini yang terpaksa berhenti sekolah akibat hidup dalam kemiskinan sejak setahun lalu bersyukur apabila diberi peluang bersekolah semula, bermula minggu lalu.

Tiga beradik itu ialah Nur Aidil Balqis Abdul Rahman, 13, Nur Alia Adila, 11, dan Nur Alia Apira, 9.

Nur Aidil Balqis berkata, dia telah melaporkan diri Rabu lalu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Wangi manakala dua lagi adiknya dapat belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Betis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya gembira dapat meneruskan persekolahan kembali selepas setahun tidak bersekolah.

“Saya gembira kerana dapat berjumpa kawan baharu. Saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh supaya dapat keputusan cemerlang dan membantu taraf hidup keluarga selepas ini,” katanya.

Sementara itu, ibu mereka, Zuraini Mat Rani, 31, bersyukur apabila anak-anaknya dapat meneruskan persekolahan selepas setahun terperap di rumah.

Katanya, dia berterima kasih kepada semua pihak yang membantu dan menghulurkan sumbangan kepada keluarga mereka.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang membantu terutamanya pihak Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) yang membantu memudahkan urusan pendaftaran termasuk yuran persekolahan anak.

“Bagi meringankan beban, ketiga-tiga anak saya juga akan tinggal di asrama sekolah dan akan pulang pada hujung minggu dan cuti sekolah sahaja,” katanya.

Akhbar ini sebelum ini me­nyiarkan kisah tiga beradik di Kampung Panggong Lalat, terpaksa berhenti sekolah sejak April tahun lalu lantaran kemiskinan keluarganya.

Mereka sebelum ini belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan Kubor, Tumpat namun terpaksa berhenti selepas kedua-dua ibu bapa mereka mengambil keputusan berhijrah ke Gua Musang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini