RIYADH 6 Sept – Pasukan pertahanan udara Arab Saudi telah memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang dilancarkan pemberontak Houthi Yemen di bandar selatan Najran, tetapi 26 orang awam tercedera terkena serpihan peluru berkenaan, kata pertahanan sivil Arab Saudi, semalam.
Stesen televisyen al-Masirah milik Houthi berkata menerusi laman Twitternya, kumpulan pemberontak telah menyerang kem Pertahanan Nasional Arab Saudi di sempadan bandar.
Gabungan pimpinan Saudi yang memerangi Houthi mengatakan peluru berpandu yang dilancarkan dari wilayah Saada berjaya dikesan pada 8.08 malam waktu tempatan.
Kumpulan pemberontak Houti, yang mengawal bandar Yemen, Sanaa dan sebahagian besar negara barat, sering melancarkan peluru berpandu di Selatan Arab Saudi yang bertujuan menyasarkan tempat seperti, pusat bandar Riyadh atau kemudahan syarikat minyak negara, Aramco.
Kebanyakan peluru berpandu telah dipintas oleh tentera Arab Saudi.
Ini menyebabkan, sekurang-kurangnya 112 orang awam terbunuh dalam serangan seperti itu sejak 2015, menurut gabungan itu.
Pertahanan awam Arab Saudi berkata, dua kanak-kanak adalah antara 11 yang cedera dalam kejadian berkenaan dan kesemua mangsa telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Arab Saudi kini mengetuai pakatan tentera yang menyokong kerajaan Presiden Yemen, Abd-Rabbu Mansour Hadi, yang disingkirkan daripada bandar Sanaa oleh Houthi pada 2015. – REUTERS










