KUALA LUMPUR 9 Sept.- Seramai 200 pelajar kurang berkemampuan menerima bantuan persekolahan bernilai RM200 seorang dalam program yang dianjurkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
![]() |
|
ZAMBRI MOHD. ISA
|
Presiden GPMS, Zambri Mohd. Isa berkata, pihaknya sentiasa prihatin terhadap nasib golongan asnaf terutamanya apabila mempunyai anak-anak yang masih bersekolah.
Disebabkan itu, katanya, beliau berharap sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak untuk berjaya dan mengubah nasib keluarga mereka ke arah yang lebih baik pada masa akan datang.
“Kita mahu memberikan sumbangan yang bermanfaat sebab itu kita cari asnaf di sekitar Kuala Lumpur dan menyalurkan bantuan kepada mereka dengan kerjasama Yayasan Wilayah Persekutuan, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Kita juga mempunyai guru-guru yang secara sukarelanya mengajar pelajar-pelajar asnaf, ini bagi membina masa depan mereka, sebab kalau mereka berdepan dengan apa-apa masalah, kita boleh bantu mereka bangkit semula dari sudut sosial dan pelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan bantuan persekolahan kepada pelajar asnaf di sini, hari ini.-UTUSAN ONLINE











