ALOR SETAR 24 Sept. – Dua lelaki dipercayai tokan dadah yang cuba meloloskan diri gagal menggunakan pintu depan dan belakang ketika diserbu sepasukan polis di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Masjid Tawar, Baling di sini hari ini.
Dalam serbuan pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu, pihak polis menahan dua lelaki berusia 30 dan 31 tahun serta merampas dadah jenis heroin dan syabu yang dianggar bernilai RM3,600.
Ketua Polis Daerah Baling, Superitenden Shariffuddin Yusuf berkata, serbuan itu dilakukan selepas sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di ibu pejabat polis daerah berkenaan melakukan risikan hasil maklumat orang awam.
“Hasil serbuan tersebut, kita telah menjumpai kira-kira 54 paket plastik lutsinar berisi serbuk disyaki dadah jenis heroin dan syabu di lantai ruang tamu rumah tersebut. Dianggarkan berat dadah jenis heroin tersebut adalah 136 gram manakala syabu 2.60 gram.
“Rumah tersebut dipercayai digunakan kedua-dua suspek untuk menjalankan urus niaga dengan penagih dadah yang dipercayai penduduk di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Shariffuddin, siasatan lanjut terhadap kedua-dua lelaki berkenaan mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan narkotik.
“Walaupun pernah ditangkap beberapa kali ternyata kedua-dua suspek tidak serik dan masih mengulangi jenayah sama. Hasil ujian urin juga mendapati kedua-duanya positif dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.










