JOHOR BAHRU 12 Sept. – Dua samseng jalan raya diburu polis selepas menikam dan memukul seorang pegawai pemasaran di Jalan Dato’ Abdullah Tahir, di sini Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, dalam kejadian pada pukul 4 pagi itu, mangsa seorang lelaki berusia 40 tahun dari Taman Setia Indah sedang memandu kereta Ferrari seorang diri.
“Sewaktu melalui kawasan kejadian, datang kereta Mercedes-Benz berwarna hitam dari arah bahu kiri jalan terus masuk ke hadapan laluan kereta mangsa.
“Mangsa kemudian telah membunyikan hon sebelum dua suspek berkenaan keluar dari kereta mereka dan mengarahkan mangsa untuk turut keluar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Shahurinain, sebaik sahaja mangsa keluar dari keretanya, seorang lelaki warga tempatan telah mengeluarkan pisau lipat dan menikam bahagian perut, tangan dan beberapa anggota badan mangsa beberapa kali.
Ujarnya, seorang lagi suspek dipercayai warga India atau Pakistan telah menumbuk muka mangsa sebanyak tiga kali sebelum kedua-duanya melarikan diri.
“Punca kejadian dipercayai kerana suspek tidak berpuas hati apabila mangsa membunyikan hon ke arah kenderaan suspek. Akibat kejadian mangsa telah mengalami kecederaan pada lengan tangan sebelah kiri, luka pada perut, badan dan sakit bahagian kepala,” katanya.
Tambah Shahurinain, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian dan suspek supaya segera menyalurkan maklumat di balai polis berhampiran.









