KEMAMAN – Seramai 18 individu disyaki penagih dadah ditahan polis dalam Ops Sarang Bersepadu di sekitar daerah ini pada Ahad lalu.
Dalam serbuan selama 6 jam bermula pukul 5.30 pagi itu, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 18 hingga 57 tahun diberkas di sekitar Cheneh Baru, Sungai Pergam dan Felda Neram Satu dekat sini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, serbuan pada operasi bersepadu yang turut disertai anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu berjaya menemui lapan botol dadah jenis heroin seberat 37.25 gram, sepeket dadah jenis heroin (52.35 gram) dan tiga peket dadah jenis syabu (16.75 gram).
“Selain itu, sebanyak 40 biji pil eramin (11.27 gram) dan sepeket berisi daun ketum juga ditemui dalam operasi terbabit. Kesemua dadah yang dirampas tersebut dianggarkan bernilai RM10,950.
“Sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang berjumlah RM2,500 juga telah dirampas dalam operasi tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman di sini hari ini.
Mohd. Said berkata, ujian urin kesemua lelaki yang disyaki penagih dadah terbabit juga didapati positif dadah dan lapan daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau. – K! ONLINE










