PORT DICKSON 15 Sept. – Seramai 15 orang daripada tiga keluarga di Kampung Ladang Sengkang, Linggi di sini ditempatkan di pusat pemindahan selepas rumah mereka terjejas akibat banjir petang tadi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, mangsa terdiri daripada 10 orang dewasa, empat kanak-kanak dan seorang bayi dipindahkan ke Balai Raya Sungai Raya Linggi pada pukul 5 petang.
“Kawasan tersebut dinaiki air sehingga satu meter (m) ekoran hujan lebat sejak semalam dan kesan air pasang pada pukul 6.01 pagi mencecah 2.36m.
“Air lambat mengalir ke laut berikutan hujan pada pagi sehingga tengah hari tadi. Rumah yang terjejas berada di kawasan rendah dalam ladang. Bagaimanapun, hujan telah berhenti pada petang ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, operasi memindahkan penduduk melibatkan tiga pegawai dan 20 anggota APM serta dua pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat. – UTUSAN ONLINE










