ALOR GAJAH 25 Sept. – Sebanyak 120 pelajar jurusan automatif di 17 pusat pengajian di seluruh negara berpeluang menjalani latihan amali dan praktikal hasil kerjasama yang terjalin antara Honda Malaysia Sdn. Bhd. dan Kementerian Pendidikan.
Menerusi program tersebut, pelajar teknikal terbabit akan menjalani latihan selama enam bulan di semua pusat servis Honda Malaysia dan berpeluang meneruskan pekerjaan mereka di syarikat itu selepas tamat pengajian.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, ini merupakan kerjasama yang julung-julung kali dilakukan oleh syarikat itu mengambil pelajar jurusan automatif menjalani latihan seterusnya bekerja di pusat-pusat servis apabila tamat pengajian.
“Honda Malaysia berbesar hati kerana komitmen positif diberikan Kementerian Pendidikan membolehkan pelajar dari politeknik dan kolej komuniti menimba pengalaman dengan syarikat ini.
“Sebelum ini Honda Malaysia mengadakan latihan praktikal menerusi pengambilan pelajar-pelajar jurusan automatif tetapi kita adakan perjanjian kerjasama secara rasmi agar pemilihan pelajar lebih terbuka dan meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Honda Malaysia serta Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan di Pusat Latihan Honda Malaysia di Pegoh di sini hari ini.
Pada majlis itu, Honda Malaysia diwakili Ishiyama manakala Kementerian Pendidikan diwakili Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Prof. Datuk Dr. Mohd. Ismail Abd. Aziz.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Honda Malaysia, Atsuyoshi Nishida; Naib Presiden Kumpulan Pembuatan Honda Malaysia; Syahril M. Azmi; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohamad Amin Hamat dan Pengarah Bahagian Kerjasama Industri dan Komuniti kementerian, Zainah Rujihan.










