Zaid kekal bebas tuduhan  buat pernyataan jelik - Utusan Malaysia

Zaid kekal bebas tuduhan  buat pernyataan jelik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 2 Ogos – Mahkamah Tinggi di sini hari ini mengekalkan keputusan melepas dan membebaskan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim atas tuduhan membuat pernyataan jelik agar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan, tiga tahun lalu.

Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memaklumkan, mereka menarik semula rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bertarikh 11 Januari lalu.

Pada tarikh tersebut, Zaid dilepas dan dibebaskan atas tuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet untuk membuat pernyataan jelik melalui laman blog miliknya berhubung gesaan agar Najib meletakkan jawatannya.

Hakim Zaman Mohd. Noor ketika itu memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Zaid, 67, selaku orang kena saman (OKS) pada akhir kes pendakwaan.

Zaid yang merupakan ahli DAP didakwa menggunakan aplikasi itu dan secara sedar membuat pernyataan yang jelik dalam blog miliknya, www.zaid.my/current-rally-behind-tun-dr-mahathir-mohamad/ dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman di sini, kira-kira pukul 3.30 petang, 3 September 2015.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN