KUALA LUMPUR 22 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengajak umat Islam untuk bermuhasabah terhadap tanggungjawab sebagai hamba Allah, keluarga, masyarakat dan rakyat negara ini sempena Hari Raya Aidiladha.
Sehubungan itu, Wan Azizah berkata, setiap individu harus mengambil pengajaran dan iktibar daripada kisah Nabi Ibrahim yang diberi gelaran Khailullah, Nabi Ismail sebagai seorang anak yang taat dan patuh dengan perintah bapanya dan perintah Allah serta Siti Hajar yang merupakan isteri solehah dan juga Nabi Muhammad SAW.
“Cubalah kita bertanya kepada diri apakah yang telah kita usaha dan lakukan selama ini benar-benar mengikuti contoh teladan seperti yang telah ditunjukkan oleh manusia-manusia agung yang terlibat dalam peristiwa Aidiladha ini?
“Jika belum apa pula usaha dan azam kita untuk mengikut jejak langkah mereka?” katanya ketika berucap sempena Hari Raya Aidiladha di Surau Al-Falah di sini hari ini.
Dalam pada itu, Wan Azizah juga enggan menjawab sebarang isu berkaitan kewujudan komplot untuk mengagalkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.
“Komplot apa, kita cakap pasal korban. Kita sudah menang dan kita nak isi kemenangan ini malah kita akan sambut kemerdekaan nanti,” katanya. – UTUSAN ONLINE











