Video tular: Bukan cacing dalam kepala udang - Utusan Malaysia

Video tular: Bukan cacing dalam kepala udang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) percaya objek seperti cacing yang dikeluarkan dari bahagian kepala spesimen udang seperti dalam satu video yang viral, bukanlah cacing seperti didakwa tetapi sebaliknya kelonsong spermatozoa (spermatid) dari udang jantan yang matang.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Media Komunikasi Korporat hari ini berkata, berdasarkan video tersebut pihaknya mendapati spesimen udang itu merupakan spesimen udang laut dari jenis udang putih Penaeus vannamei (white leg shrimp) yang diternak dan merupakan spesies udang ternakan dan produk eksport Malaysia.

“Objek putih seperti cacing yang dikeluarkan dari bahagian kepala spesimen udang tersebut diyakini bukan cacing sebaliknya kelonsong spermatozoa (spermatid) dari udang matang jantan. Sebelum dikeluarkan ianya tersimpan dalam kelonsong yang panjang, mirip kepada bentuk cacing.

“Sperma akan dipindahkan dari udang jantan kepada udang betina semasa proses mengawan. Aktiviti  pembiakan aruhan biasanya akan mengeluarkan kelonsong sperma dari spesimen dan membenam kelongsong tersebut kepada spesimen betina,” katanya.

Jabatan Perikanan berkata, berdasarkan kepada slanga bahasa yang digunakan dalam video tersebut, pihaknya percaya video berasal dari luar negara.

“DOF berharap orang ramai tidak kuatir terhadap pengeluaran udang dari sumber akuakultur. Di bawah program Pemantauan Residu Akuakultur (ARMP) DOf akan terus meningkatkan pemantauan kualiti ikan/udang di peringkat ladang bagi memastikan hasil ternakan akuakultur adalah bebas dari kesan pencemaran dan selamat untuk di makan,” katanya. – Bernama

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN