KUALA LUMPUR 20 Ogos – Cubaan untuk menjadikan negara ini sebagai transit bagi menyeludup sumbu badak dan bangkai hidupan liar ke luar negara dibongkar selepas kesemua barangan terlarang itu yang dianggarkan bernilai RM48 juta dirampas pada 13 Ogos lalu.
Video oleh FARABI AL JABRI
Barangan rampasan tersebut ditemukan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas memeriksa konsainmen mencurigakan selain terhidu bau busuk dari 10 buah kotak pada kira-kira pukul 8 malam.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang kemudiannya dipanggil melakukan pemeriksaan di Pos Penerbangan Cawangan Eksport Bangunan Terminal Kargo KLIA mendapati, 50 sumbu badak dan sembilan set bangkai hidupan liar dipercayai karnivor dimuatkan dalam kotak tersebut.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, siasatan awal mendapati pemilik konsainmen telah menggunakan dokumen palsu bagi membolehkan barangan tersebut dihantar ke Hanoi, Vietnam.
“Pihak kami tidak dapat mengesan siapa pemiliknya, cuma kita tahu barangan tersebut tiba ke negara ini sebelum dibawa ke Vietnam untuk pasaran gelap bagi tujuan perubatan.
“Pada masa sama, kita akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti asal usul kesemua hidupan liar itu sebelum proses penyerahan semula dilakukan ke negara berkaitan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Perhilitan di sini hari ini.
Berdasarkan harga pasaran gelap, Abdul Kadir menjelaskan, nilai bagi setiap kilo sumbu badak yang dipercayai menjadi penawar untuk pesakit kanser dianggarkan RM100,000.
Mengulas mengenai siasatan kes tersebut, beliau menjelaskan, ejen yang menguruskan konsainmen ini telah disiasat bagi mengenal pasti pemiliknya.
“Kesemua konsainmen ini telah diikrarkan sebagai barangan perhiasan, namun siasatan mengenainya masih dijalankan dengan bantuan pihak Interpol kerana melibatkan jenayah rentas sempadan.
“Kes ini disiasat mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kerana mengeksport tanpa permit,” jelasnya.











