KULAI 16 Ogos – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) negeri merampas 230 tong gas petroleum cecair (LPG) seberat 6,100 kilogram (kg) bernilai RM53,590 dalam serbuan di dua premis pemborong di Taman Tan Sri Yaacob, Johor Bahru semalam.
![]() |
|
Khairul Anwar Bachok
|
Pengarahnya, Khairul Anwar Bachok berkata, serbuan pukul 12.15 tengah hari itu dilakukan 13 anggota penguat kuasanya selepas melakukan risikan selama tiga hari.
“Dalam serbuan ke atas premis pertama, kita merampas sebanyak 150 tong LPG 14 kilogram (kg) keseluruhannya seberat 2,100 kg dimana ia melebihi had yang dibenarkan dalam lesen borong yang dimiliki pemborong berkenaan iaitu 15,000 kg.
“Dalam serbuan kedua pula, kita merampas 80 tong gas LPG 50 kg keseluruhannya seberat 4,000 kg dimana ia melebihi had yang dibenarkan dalam lesen borong yang dimiliki pemborong berkenaan iaitu 9,000 kg,” katanya kepada pemberita di stor eksibit PPDNHEP Johor di Senai di sini sebentar tadi. – UTUSAN ONLINE












