KUALA LUMPUR 13 Ogos – Kabinet memutuskan untuk memansuhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tatanegara (BTN) berkuatkuasa serta-merta.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara itu berkata, keputusan itu diputuskan minggu lalu dengan program baharu akan menggantikan PLKN dan BTN bertujuan membentuk belia masa hadapan yang berwawasan dan tinggi nilai jati diri.
Menurut beliau, kakitangan tetap dan kontrak yang berkhidmat di bawah PLKN dan BTN akan diserap ke dalam Kementerian Belia dan Sukan.
Video oleh NUR ANIS FARHANA ABD MALEK
“Mereka akan diletakkan di bawah Kementerian Belia dan Sukan dengan bajet sedia ada yang diperuntukkan untuk program tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut, Syed Saddiq berkata, perbincangan dengan pihak berkepentingan termasuk Khazanah Nasional Berhad (Khazanah Nasional) akan diadakan dalam masa terdekat dalam usaha merangka program baharu itu.
“Memandangkan program ini melibatkan kolaborasi merentas kementerian dan agensi lain, Kementerian Belia dan Sukan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan seperti Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan serta persatuan belia bagi memperhalusi mekanisme pelaksanaan program ini supaya dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu, program 1Malaysia for Youth (iM4U) akan distruktur semula bagi mengembalikan objektif asal penubuhan program tersebut.
Syed Saddiq mendakwa, inisiatif kesukarelaan itu telah disalah guna sebagai platform kepada sesetengah pemimpin politik dan medium kempen I Love PM serta banyak dana digunakan untuk tujuan tersebut.
“Apabila iM4U mula ditubuhkan objektifnya adalah amat baik iaitu bagi memastikan semangat kesukarelaan dapat disemai dalam jiwa anak muda di negara ini.
“Walau bagaimanapun, sepanjang pelaksanaannya, program itu telah disalah guna. Jadi kami mahu memastikan iM4U fokus budaya kesukarelaan dan bukan untuk memperkasakan agenda sesetengah pimpinan politik,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya memberi jaminan akan terus menyalurkan bantuan perubatan kepada lebih 2,400 bekas atlet yang kini kehabisan dana di bawah program kebajikan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb).
“Peruntukan akan disampaikan dan selepas tu kita menentukan jalan penyelesaian komprehensif untuk terus membantu bekas atlet negara,” katanya ketika diminta mengulas mengenai isu kehabisan dana Yakeb.











