[VIDEO] Perompak larikan barang kemas RM1.1j - Utusan Malaysia

[VIDEO] Perompak larikan barang kemas RM1.1j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Dua kedai emas mengalami kerugian keseluruhan dianggarkan RM1.1 juta selepas dirompak dalam kejadian di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya dan Endah Parade, Taman Sri Endah, di sini hari ini.


Video oleh AZRUL RADI

Kejadian berlaku selang minit iaitu kira-kira pukul 1.45 petang dan 1.50 petang dipercayai dilakukan kumpulan perompak berlainan .

Memuatkan artikel berkaitan…

Difahamkan, kedua-dua kedai emas itu sudah beberapa kali menjadi sasaran perompak.

Kejadian pertama melibatkan sebuah kedai emas di pusat beli-belah Endah Parade yang dirompak oleh lima lelaki yang bersenjatakan tiga pucuk pistol kira-kira pukul 1.45 petang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Arifai Tarawe berkata, tiga daripada suspek yang memakai topi keledar serta jaket masuk ke dalam kedai dan melarikan 14 dulang emas dianggarkan bernilai RM800,000.

“Ketika kejadian, terdapat empat orang pekerja termasuk seorang pengawal keselamatan di dalam premis dan tiga suspek tersebut melarikan diri bersama dua lagi suspek yang menunggu dengan tiga buah motosikal.

“Hasil pemeriksaan kita menemukan satu kelongsong pistol dipercayai tiruan. Bagaimanapun, kita akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) untuk siasatan lanjut,” ujarnya.

Dalam pada itu, sebuah lagi kedai emas yang terletak di dalam sebuah pasar raya di Taman Datuk Harun kerugian kira-kira RM300,000 selepas dirompak dua lelaki bersenjata lima minit kemudian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din memberitahu, rompakan berlaku kira-kira pukul 1.50 petang dan kedua-dua suspek bersenjatakan objek menyerupai pistol dan tukul besi,

“Ketika kejadian, terdapat dua pekerja di dalam kedai dan suspek telah mengacukan pistol serta meminta mereka menyerahkan barang kemas di ruang pameran.

“Kedua-dua suspek memasukkan kesemua barangan berupa rantai serta gelang emas ke dalam pakaian mereka dan seterusnya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ujar Zani, siasatan di luar tempat letak motosikal kawasan berkenaan juga telah menemukan tukul besi yang dipercayai digunakan suspek sewaktu kejadian.

Tambahnya, kes kini disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata berkumpulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN