KUALA LUMPUR 20 Ogos – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas 50 batang sumbu badak dan sembilan bangkai hidupan liar bernilai RM48.5 juta pada 13 Ogos lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kesemua barangan tersebut ditemukan dalam 10 buah kotak mencurigakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Pos Penerbangan Cawangan Eksport Bangunan Terminal Kargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menurutnya, kesemua barang rampasan tersebut dipercayai ditransit ke negara ini untuk dihantar ke Hanoi, Vietnam.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua sumbu badak seberat 116 kilogram itu diletakkan dalam empat kotak.
“Bangkai hidupan liar pula diletakkan dalam enam kotak dianggarkan seberat 200 kilogram,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Perhilitan di sini hari ini.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686). – UTUSAN ONLINE











