[VIDEO] Keseronokan The Moscow Circus - Utusan Malaysia

[VIDEO] Keseronokan The Moscow Circus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 13 Ogos – Persembahan sarkas jarang diadakan di negara ini. Justeru apabila kumpulan sarkas berada di negara ini, seharusnya peluang tersebut tidak disia-siakan.

 

Terbaharu kumpulan sarkas dari Rusia, The Moscow Circus menghiburkan peminat tempatan bermula 10 Ogos lalu sehingga 2 September ini.

Bertempat di Padang Timur, Petaling Jaya, persembahan diadakan di dalam sebuah khemah besar yang mampu memuatkan seramai 2,700 pengunjung pada satu-satu masa.

Terdapat lapan persembahan bagi setiap slot pertunjukan yang berlangsung selama 2 jam 15 minit dan dibahagikan kepada dua bahagian. Antara persembahan itu ialah pejalan kaki wayar tinggi, artis trapez dan akrobat Swing Rusia.

Paling mendebarkan pasti tarian terapung oleh aerialist dan paling mempesonakan sudah tentu kecekapan serta kepantasan artis juggling melambungkan tujuh biji bola pada satu masa beserta gerakan menghiburkan.

Persembahan roller skate oktan tinggi, pemutar diablo yang mencabar graviti dan pakar ilusi juga tidak mengecewakan dan penuh dengan adegan suspen.

Sepanjang persembahan itu, penonton juga dihiburkan telatah badut bernama Armen Asiryants. Ibarat Mr Bean, Armen menghiburkan penonton dengan pelbagi gelagat tanpa dialog.

Sementara itu, artis juggling, Semen Krachinov berkata, ini kali pertama beliau membuat persembahan di Malaysia dan gembira dapat menunjukkan bakatnya kepada rakyat tempatan.

“Bermula dari umur tujuh tahun saya berlatih setiap hari serta minat yang mendalam membuatkan saya berjaya sehingga ke tahap ini. Pada mulanya gagal tetapi itu perkara biasa namun dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan tidak mudah putus asa membuatkan kemahiran mengimbangi bola semakin hari semakin baik.

“Perkara penting dalam juggling adalah banyak membuat latihan dan pemakanan yang sihat untuk mengekalkan stamina sekaligus dapat memberi fokus yang tinggi,” katanya.

Sepanjang 10 bulan di negara ini, The Moscow Circus akan mengadakan pertunjukan di 10 buah bandar iaitu Petaling Jaya, Pulau Pinang, Prai, Melaka, Kuala Lumpur, Johor Bahru, Batu Pahat, Ipoh, Kuantan dan Klang.

Selepas Petaling Jaya, destinasi seterusnya bagi The Moscow Circus ialah Pulau Pinang yang berlangsung dari 13 hingga 30 September depan di Queensbay Mall.

Tiket boleh didapati dengan harga yang mampu milik serendah RM50 untuk tempat duduk menghadap belakang persembahan, RM80 tempat duduk menghadap depan persembahan, RM150 untuk Premium B, RM220 untuk Premium A dan RM280 untuk tempat duduk Ringside.

Pemegang kad Maybank boleh menikmati diskaun sehingga 15 peratus untuk pakej keluarga serta faedah lain termasuklah penebusan TreatsPoints/ Membership Rewards malah berpeluang memenangi dua tiket Premium B dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM1,500.

The Moscow Circus juga telah mengambil langkah-langkah tambahan untuk memastikan persembahan ini memberi sumbangan positif terhadap masyarakat dan ekonomi Malaysia di mana hasil daripada penjualan tiket akan disumbangkan kepada Tabung Harapan Malaysia. Persembahan The Moscow Circus juga bebas daripada persembahan yang memanipulasikan haiwan.

Untuk keterangan lanjut boleh layari laman sesawang www.themoscowcircus.com.my – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN