ARAFAH 20 Ogos – Jemaah Malaysia bertakbir dan bertalbiah sepanjang hujan lebat dan ribut yang melanda malam tadi memohon kepada Allah agar diselamatkan daripada sebarang kejadian tidak diingini.
Video oleh NOR AZIAH JAAFAR
Laungan azan turut kedengaran sebagai ikhtiar menghadapi saat-saat mencemaskan itu yang bermula pukul 6 petang dan berakhir kira-kira 8.30 malam.
Salah seorang jemaah, Jumaidah Sujak, 58, dari Johor ketika menceritakan detik itu berkata, ketika kejadian penghuni khemah Maktab 87 yang didudukinya sedang solat sunat apabila khemah bergegar dilanda ribut.
“Dalam saat cemas itu kami berpegangan tangan dan bertalbiah tidak henti-henti,” katanya.
Faridah Hanum Ismail, 37, dari Kelantan pula berkata, sampah dan pasir berterbangan masuk ke khemah yang tersingkap dipukul ribut manakala selipar yang diletakkan di luar khemah berterbangan ke khemah sebelah.
“Syukur alhamdulillah kami selamat. Ini satu pengalaman yang tidak akan dapat dilupakan,” katanya.
Sementara itu Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman dalam satu kenyataan memaklumkan, semua jemaah Malaysia berada dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Katanya, pemeriksaan menyeluruh telah dilakukan di setiap maktab dan terdapat beberapa khemah jemaah haji Malaysia mengalami kerosakan.
Namun jelasnya, khemah-khemah berkenaan kini dalam proses baik pulih oleh pihak Muassasah Asia Tenggara,.
“Bekalan elektrik disambung semula secara berperingkat mulai pukul 10:45 malam,” ujar beliau.
Justeru katanya, waris dan orang ramai tidak perlu bimbang dengan keadaan jemaah haji Malaysia yang kini berada di Arafah.











