[VIDEO] AINUA bakal kembali kali ketiga tahun hadapan - Utusan Malaysia

[VIDEO] AINUA bakal kembali kali ketiga tahun hadapan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Yayasan Usman Awang (YUA) akan me­nganjurkan Anugerah Integrasi Nasional Usman Awang (AINUA) kali ketiga tahun hadapan bagi mengiktiraf peranan individu atau organisasi yang berjasa dalam membentuk perpaduan kaum di negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pengerusinya, Dr. Syed Husin Ali berkata, anugerah ini akan diberikan kepada individu dan pertubuhan yang menjalankan aktiviti dan sumbangan dalam mewujudkan integrasi nasional dan perpaduan kaum.

Menerusi pengajuran anugerah ini, jelas Syed Husin, selari dengan apa yang telah dilakukan oleh Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang dalam setiap karyanya yang sering mempromosi integrasi nasional sebagai wadah utama.

“Penganugerahan itu tidak mempunyai kepentingan politik dengan mana-mana pihak dan bersifat terbuka, sama seperti peribadi Usman yang tidak pernah membezakan orang dengan fahaman politik, agama dan bangsa.

“Anugerah yang menerima penglibatan persatuan dan individu pelbagai kaum ini diharapkan akan menjadi inspirasi kepada rakyat dalam mengukuhkan integrasi kaum antara kita,” ujarnya dalam kunjungannya ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (Berhad) di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Agung Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong), Prof. Datuk Dr. Chin Yew Sin dan anak Allahyarham Usman, Haslina Usman.

Memasuki tahun ketiga pe­nganjurannya, AINUA 2019 yang diadakan dengan kerjasama Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong) bermatlamat mahu melihat integrasi nasional subur dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Yew Sin berkata, orang ramai boleh menghantarkan pencalonan kepada pihak penganjur melalui borang yang dimuat turun di laman web YUA sama ada pencalonan bagi kategori individu atau organisasi.

“Tidak kira bangsa, agama dan latar belakang boleh dicalonkan, apa yang penting kami melihat apa yang telah dilakukan oleh mereka dalam mengangkat integrasi kaum.

“Hadiah yang disediakan untuk kategori individu dan pertubuhan masing-masing wang tunai Rm15,000,” jelasnya.

Borang pencalonan perlu dihantar sebelum 31 Disember ini, anugerah akan disampaikan pada malam kemuncak AINUA 2019 yang dijangka diadakan pada pertengahan Mac tahun hadapan bersempena Hari Puisi Sedunia.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini