KUALA TERENGGANU 20 Ogos- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri menubuhkan Unit Penguat Kuasa Ronda Lebuh Raya (UPRL) bagi meningkatkan pemantauan keselamatan dan pematuhan undang-undang di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2).
Unit dengan enam anggota yang bertugas secara bergilir mengikut syif akan menjalankan rondaan bermula di Plaza Tol Kuala Terengganu hingga Plaza Tol Jabor di Kemaman, sejauh 194 kilometer.
Pengarahnya Zulkarnain Yasin ketika melancarkan unit tersebut di sini hari ini berkata, UPRL kini mengerakkan operasi awalnya sehingga 31 Ogos sempena musim perayaan Aidiladha, cuti persekolahan dan sambutan Hari Kebangsaan.
Dengan lebih banyak masa di LPT2, mereka akan memastikan pengguna jalan raya tidak melakukan kesalahan seperti tidak memakai tali pinggang kaledar, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, memotong barisan serta mengguna lorong kecemasan. – UTUSAN ONLINE











