KUALA LUMPUR 26 Ogos – 10,000 keluarga kurang berkemampuan di Zamboanga dan Maguindanao di Filipina menerima daging korban menerusi Misi QurbanMudah.com yang dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim).
Sebanyak 150 ekor lembu dikorbankan hasil daripada penyertaan rakyat Malaysia dan dapat disumbangkan kepada golongan fakir miskin, anak yatim dan warga emas di perkampungan umat Islam dalam wilayah itu.
Menurut Pengurs Besarnya, Mohd. Hakim Mohd. Nor, Filipina dipilih sebagai lokasi bagi ibadah korban pada tahun ini selepas melihat kedaifan hidup umat Islam di sana.
“Mereka sangat daif dan lebih susah berbanding umat Islam di Malaysia sehingga tidak mampu untuk menikmati makanan daging kerana kesempitan hidup,” katanya dalam satu kenyataan kepada Utusan Online hari ini.
Tambah beliau, bagi memastikan ketelusan penyempurnaan ibadah korban, pihak QurbanMudah.com bersama enam wakil Serantau Muslim melakukan sendiri penyembelihan dan pengagihan yang dilakukan secara terus kepada penduduk di sana.
“Hanya mereka yang benar-benar layak sahaja menerima daging korban dan kami bersyukur ibadah korban berjalan dengan lancar dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











