CUKUP menarik kisah yang dilaporkan dalam media massa tentang jutawan negara China, Zhong Congrong yang memiliki sikap dan tingkah laku sentiasa mengutip sampah di sepanjang jalan yang dilaluinya. Hanya dengan menggunakan penyepit aluminium, jutawan China ini menjadikan kerja mengutip sampah sebagai rutin hariannya. Mengambil inspirasi daripada seorang pesara pensyarah yang mengutip sampah di sebuah pantai selama empat tahun telah mengubah mentaliti jutawan ini untuk membuat kebaikan sebagaimana tergambar melalui sikap dan tingkah laku sehariannya.
Bagaimana tingkah laku murni yang ditunjukkan oleh pesara pensyarah tersebut telah mengubah mentaliti, sikap dan tingkah laku seorang jutawan adalah sesuatu yang perlu difikirkan oleh kita semua. Pada awalnya, tindakan jutawan ini mengutip sampah di sepanjang jalan yang dilaluinya mendapat reaksi negatif termasuklah dalam kalangan ahli keluarga sendiri yang berasa malu dengan liputan media yang diberikan terhadap jutawan tersebut. Ini seolah-olah menggambarkan seorang jutawan tidak sewajarnya mengutip sampah. Namun, reaksi negatif yang ditonjolkan oleh masyarakat terhadapnya langsung tidak dipedulikan. Dilaporkan selepas begitu lama jutawan ini mengutip sampah, kawasan sekeliling perumahannya semakin bersih. Akhirnya, pihak yang memandang negatif terhadap usaha murninya mula menghargai kerja-kerja pembersihan yang dilakukannya.
Apa yang boleh diambil iktibar dalam kisah ini adalah bukan mudah untuk mengubah mentaliti, sikap dan tingkah laku buruk seseorang mahupun masyarakat sekelilingnya. Dengan hanya kesedaran dan keberanian serta melakukan secara berterusan atau istiqamah tanpa mempedulikan pandangan negatif orang lain, Insya-Allah, mentaliti, sikap dan tingkah laku negatif boleh diubah. Suatu tindakan kecil pada asalnya memberi impak besar bukan hanya terhadap keluarganya tetapi juga masyarakat di sekelilingnya.
Dalam hal ini, banyak perkara boleh diubah ke arah lebih positif demi untuk melihat masyarakat kita menjalani kehidupan dengan lebih baik. Perkara-perkara negatif yang bermula daripada mentaliti perlu diubah ke arah lebih positif agar akhirnya dijelmakan melalui sikap dan tingkah laku seharian. Misalnya, ketika berada di jalan raya, mentaliti yang hanya mementingkan diri sendiri menyebabkan terdapat pemandu memotong di lorong kecemasan semasa kesesakan lalu lintas. Mentaliti yang terlalu mementingkan diri sendiri inilah sebenarnya banyak menyusahkan orang lain. Pemanduan berbahaya seperti menghimpit kenderaan lain semasa memotong bukan setakat membahayakan nyawa diri sendiri tetapi nyawa orang lain.
Kita boleh ambil contoh lain, bagaimana mentaliti, sikap dan tingkah laku pemanduan oleh masyarakat negara-negara maju yang tidak memerlukan penguatkuasaan undang-undang semata-mata telah menjadikan mereka memandu secara berhemah pada setiap masa. Misalnya, jika menghampiri lampu isyarat, masing-masing tidak kira jenis kenderaan akan beratur mengikut aturan tanpa menyelit di kiri kanan kenderaan lain semata-mata untuk berada di barisan hadapan.
Mentaliti, sikap dan tingkah laku lain yang boleh dilihat, jelas digambarkan dalam masyarakat Jepun yang sering kali bantu membantu sesama sendiri terutamanya ketika mengalami bala bencana. Lihatlah, bagaimana mereka menghadapi bala bencana dengan penuh teratur dan sabar sehinggakan perkara yang nampak susah untuk ditangani mampu ditangani dengan baik semasa menghadapi bencana. Mereka dididik sejak kecil lagi agar sentiasa bantu membantu. Didikan yang diberikan bukan setakat mengubah mentaliti anak-anak kecil lebih positif, tetapi diterjemahkan melalui sikap dan tingkah laku semasa dewasa yang memberi kebaikan kepada masyarakat secara keseluruhannya. Lebih-lebih lagi dalam konteks sekarang ini dengan teknologi terkini mewajarkan masyarakat sesebuah negara untuk bersikap lebih positif agar kehidupan mereka sentiasa berkeadaan baik.
Banyak kejadian negatif yang berlaku dalam masyarakat kita perlu diubah ke arah yang lebih positif. Antaranya, meletakkan kenderaan di tempat orang kelainan upaya (OKU), tidak meletakkan troli dan kenderaan dengan betul di kompleks beli-belah, meludah merata-rata tempat, tidak membersihkan makanan di meja selepas makan di restoran dan kedai makan, merokok di tempat yang tidak dibenarkan, berebut-rebut menaiki pengangkutan awam dan membuang sampah di jalan raya ketika berada dalam kenderaan.
Sikap sebegini sudah menjadi sebati dalam kalangan segelintir rakyat Malaysia. Meskipun sukar untuk mengubah mereka, namun ini tidak mustahil boleh dilakukan. Dengan mengambil tindakan yang betul, sikap dan tingkah laku sebegini mampu diubah.
Ini wajar dilakukan melalui didikan di rumah dan di sekolah, manakala masyarakat pula sentiasa menyedarkan golongan ini dengan cara yang baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan menukar tabiat buruk sebegini menjadi lebih positif. Tidak hanya semata-mata dengan mengambil tindakan undang-undang, dengan memberi contoh yang baik sebagaimana amalan seharian jutawan pengutip sampah negara China tersebut telah berjaya mengubah dan memerdekakan mentaliti, sikap dan tingkah laku golongan sebegini. Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2018.
DR. ROHAMI SHAFIE ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia (UUM).











