KUALA LUMPUR 28 Ogos – Program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak seharusnya dimansuhkan selagi harga barang tidak turun.
Pandangan itu disuarakan Ahli Dewan Negara, Senator Dr. Mohd. Nor Monutty ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Sambil mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa BR1M tidak dihapuskan serta-merta, beliau percaya kerajaan perlu menyediakan prasarana yang kondusif untuk menurunkan kos sara hidup rakyat terlebih dahulu.
“Kukuhkan nilai mata wang, harga barang diturunkan, kawalan harga barang betul-betul berlaku.
“Kalau ini dapat dilaksanakan, rakyat akan rasa duit yang mereka ada sentiasa bernilai, ada lebihan.
“Jika duit mereka tersekat-sekat, itu yang kita bimbang,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Nor ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, menyarankan supaya jumlah Ahli Dewan Negara yang dilantik mewakili negeri ditambah daripada dua kepada tiga atau empat orang.
Beliau juga memberitahu, tempoh perkhidmatan maksimum enam tahun bagi Ahli Dewan Negara adalah terlalu pendek dan tidak memberi peluang yang lebih luas.
“Oleh itu, kita perlu menambah tempoh perkhidmatan senator. Sebagai contoh di Kanada, seseorang yang dilantik akan kekal menjadi senator sehingga umurnya 75 tahun,” jelasnya.











