KUALA LUMPUR 24 Ogos – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadiri sesi ‘town hall’ pertama bersama ketua-ketua bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seluruh negara, di sini hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Bersatu tiba di sebuah hotel di bandar raya ini kira-kira pukul 4.30 petang disambut oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh yang juga Ahli Parlimen Sri Gading.
Dr. Mahathir yang baharu pulang dari lawatan kerja di Beijing, China kelmarin, akan berucap di hadapan kira-kira 130 ketua bahagian Bersatu dalam program yang diadakan secara tertutup itu.
Yang turut hadir, Menteri Besar Kedah yang juga Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian
Hadir sama, Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ketua Srikandi Bersatu, Rina Harun; Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Ketua Pemuda Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman. – UTUSAN ONLINE











