CHICAGO 15 Ogos – Peguam negara Illinois, semalam mengumumkan saman ke atas Trump Tower di Chicago dengan mendakwa premis itu melanggar undang-undang alam sekitar dan menjejaskan kehidupan ikan di Sungai Chicago.
Saman berkenaan difailkan oleh Peguam Negara, Lisa Madigan di sebuah mahkamah di Cook County menyatakan, Trump International Hotel and Tower melepaskan jutaan gelen air ke dalam sungai pada setiap hari bagi menyejukkan pelbagai sistem di dalam premis tersebut.
Menurut saman itu lagi, menara kediaman dan hotel setinggi 92 tingkat itu gagal melaksanakan kajian mandatori yang ditetapkan kerajaan terhadap kesan pelepasan air ke dalam sungai dan kadar air tersebut mengancam hidupan akuatik.
“Trump Tower secara berterusan menyedut jutaan gelen air dari Sungai Chicago pada setiap hari tanpa permit yang sah dan tanpa mengambil kira kesan tindakan itu terhadap ekosistem sungai,” kata Madigan dari Parti Demokrat yang memegang jawatan itu sejak 2003, dalam satu kenyataan media.
Hartanah Trump Organization di seluruh dunia berada di bawah pemantauan ketat sejak Donald Trump dipilih sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 2016.
Trump meletak jawatan daripada syarikat itu dan melantik anaknya, Don dan Eric menguruskan perniagaannya sejak Januari 2017.
Sementara itu, wakil Trump Organization dalam satu kenyataan menerusi e-mel berkata, pihaknya kesal dengan tindakan Peguam Negara IIlinois yang memilih untuk mengemukakan saman memandangkan perkara seperti itu secara umumnya boleh diselesaikan pada peringkat pentadbiran.
“Kita boleh membuat kesimpulan bahawa keputusan itu adalah bermotifkan politik,” katanya. – REUTERS











