BARCELONA 16 Ogos – Bintang Barcelona Lionel Messi berkata, kelabnya akan melakukan semampu yang boleh musim ini untuk menyambar trofi Liga Juara-Juara semula daripada musuh ketat Real Madrid, yang telah merangkulnya selama tiga tahun berturut-turut.
Jelas bintang Argentina itu, musim ini skuad Catalans berupaya merealisasikan impian Barcelona dengan adanya pemain baharu yang akan membantu mereka lebih baik dari sebelum ini.
“Musim lalu kami berada di tahap terbaik kerana kami memenangi kempen piala dan La Liga. Bagaimanapun kami gagal merangkul trofi Liga Juara-Juara, terutama gaya penyingkiran kami ketika itu.
“Kami berbanji kepada anda pada tahun ini, kami akan memberikan segala yang termampu untuk memenangi seberapa banyak gelaran termasuk membawa pulang trofi Liga Juara-Juara ke Camp Nou semula.
Pemain berusia 31 tahun itu akan mengambil alih lilitan kapten di Barcelona musim ini selepas legenda kelab Andres Iniesta berhijrah ke Jepun.
“Kami pasti merindui pemain terhebat Andres tahun ini. Saya amat berbesar hati untuk menjadi kapten dan saya tahu apa maksudnya di kelab ini.
“Saya bernasib baik kerana saya mempunyai banyak contoh teladan daripada legenda kami seperti (Carles) Puyol, Xavi dan Andres (Iniesta),” kata Messi kepada penyokong Barcelona selepas menundukkan pasukan pelawat Boca Juniors 3-0 dalam aksi pra-musim, hari ini.- AFP











