JAKARTA, Indonesia – Kejutan memecahkan rekod Sukan Asia gagal diteruskan oleh skuad berbasikal trek negara dalam acara pecut berpasukan lelaki apabila mereka terpaksa berpuas hati meraih pingat perak selepas tewas kepada China dalam aksi final di Velodrom Antarabangsa Jakarta semalam.
Bagaimanapun, ia masih rekod yang memberangsangkan memandangkan ini adalah kali pertama skuad berbasikal trek negara yang diwakili oleh Mohd. Azizulhasni Awang, Muhd. Shah Firdaus Sahrom dan Muhd. Fadhil Mohd. Zonis meraih pingat dalam acara pecut berpasukan.
Perkara tersebut nyata membanggakan Ketua Jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley yang mengakui acara tersebut tidak menjadi sandaran buat anak-anak buahnya meraih pingat pada temasya kali ini.
“Ini adalah kali pertama kami meraih pingat dalam acara ini sejak saya melatih skuad berbasikal trek kebangsaan. Saya sangat berbangga dengan pencapaian mereka walaupun meraih pingat perak.
“Kita sedar mereka hampir menggenggam pingat emas tetapi nasib tidak menyebelahi saingan kali ini. Apa yang pasti, saya anggap pingat ini adalah bonus buat kami.
“Saya percaya kita akan memperbaiki kelemahan dan memberi aksi yang terbaik pada acara yang menjadi sandaran utama seperti pecut individu dan keirin,” katanya kepada pemberita semalam.
Pada edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan, skuad berbasikal trek negara hanya meraih satu pingat gangsa yang disumbangkan oleh Josiah Ng menerusi acara keirin.











