BEIJING 13 Ogos – Tiga orang terbunuh manakala enam lagi cedera selepas sebuah papan tanda kedai terjatuh di kawasan pejalan kaki penuh sesak ekoran hujan lebat yang dibawa Taufan Yagi.
Menurut pihak berkuasa, kemalangan itu berlaku lewat malam semalam di Nanjing East Road di pusat bandar Shanghai.
China dilaporkan terpaksa memindahkan lebih 200,000 penduduk selepas taufan membadai pantai timur negara itu.
Taufan Yagi melanda wilayah Zhejiang sejurus sebelum tengah malam tadi, membawa angin kencang dengan kelajuan sehingga 102 kilometer sejam.
Agensi berita Xinhua memetik ibu pejabat kawalan banjir wilayah itu melaporkan, sejumlah 204,949 penduduk di 10 bandar raya, termasuk Taizhou, Zhoushan dan Wenzhou sudah dipindahkan.
Hampir 21,000 bot nelayan juga telah diarah berpatah balik ke pelabuhan.
Taufan itu juga membawa hujan lebat, namun dijangka akan beransur lemah apabila bergerak ke kawasan pedalaman di bahagian barat laut.
Musim panas adalah musim taufan di China, namun angka korban semakin berkurangan sejak beberapa tahun kebelakangan ini hasil perancangan dan pemindahan awal dari zon berbahaya.-REUTERS










