IPOH – Tiga sekeluarga ditahan reman selama enam hari bermula hari ini hingga Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung kes pemerdagangan manusia melibatkan seramai 18 warga asing.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan oleh Majistret Siti Salwa Ja’afar kira-kira pukul 11 pagi di Mahkamah Majistret Ipoh di sini.
Ketiga-tiga suspek wanita berusia 20 hingga 40 tahun itu akan disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 36 Akta Senjatapi 1960.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis berjaya menyelamatkan seramai 18 pekerja asing termasuk seorang wanita yang merupakan mangsa pemerdagangan manusia di sebuah kilang membungkus sayur-sayuran di Kampung Kepayang, Mukim Sungai Raja di sini kelmarin.
Serbuan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap Ibu pejabat Polis Kontinjen negeri hasil risikan selama dua bulan.
Dalam serbuan pada pukul 9.15 pagi, mangsa yang diselamatkan terdiri daripada 12 lelaki Bangladesh, enam warga Myanmar termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 40 tahun.
Mangsa juga mendakwa dipaksa bekerja setiap hari bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah malam dengan bayaran RM32 sehari tanpa cuti rehat dan sekiranya mangsa mahu bercuti, majikan akan memotong gaji bagi tiga hari bekerja iaitu sebanyak RM96. – K! ONLINE











